Monday, February 22, 2010

4 Perspektif.1 Hadaf.

Bismillah

Tanpa satu ikatan yang teguh lagi mantap, mustahil untuk manusia-manusia yang punya perspektif berbeza bersatu hati mencapai satu matlamat. Ikatannya mungkin persamaan tali darah, asal pendidikan & tarbiyah, wang ringgit & materialistik, rupa fizikal atau apa sahaja yg membawa persamaan. Tapi, tiada satu pun ikatan di atas yang mampu kekal membawa bahagia ke alam abadi akhirat. Sudah tertulis dalam al-Quran hanya ikatan aqidah mampu menyatukan pelbagai ragam & sifat manusia. Sejarah juga mengiyakan.

Talinya, tali aqidah, aqidah yang satu.

Rasulullah saw juga pernah bersabda: “Ada di kalangan hamba, mereka ini bukan Nabi-Nabi, bukan pula golongan mati syahid, tetapi mereka ini disukai oleh para syuhada dan Nabi-Nabi. Mereka ini tinggi kedudukannya di sisi Allah swt.

Lantaran itu di kalangan sahabat-sahabat ada yang bertanya:
“Ya Rasulullah, siapakah mereka itu?

BoldMaka jawab Rasulullah:-
“Mereka itu satu kaum yang berkasih sayang kerana Allah swt. Mereka melaksanakan perintah Allah swt. Mereka itu tidak ada sangkutan adik-beradik atau saudara mara. Dan bukan pula kerana harta, mereka berkasih sayang.”

Ikatan aqidah yang dikongsi oleh golongan awwalin berpaksikan shahadah yang satu, memaut hati-hati golongan tersebut sehingga mampu menegakkan kalimah Allah di muka bumi. Kesannya, kita masih bernafas dalam nafas Islam, menghirup nikmat Islam. Maka, kami ingin sekali menyumbang sesuatu demi Islam yang telah membawa bahagia buat seantero manusia. Biarpun kami punya perspektif berbeza, tapi, akar kami tetap sama. Akar shahadah memaut dahan-dahannya agar tegak walau dalam bi'ah dan persekitaran yg berbeza. Tegaknya kerana pengabdian diri kepada Allah.

Jejak kami dari Malaysia, merantau dan mengutip cebis-cebis ilmu dan pengalaman lalu sama-sama menyebarkan untuk tatapan insan-insan yang mahukan peringatan. Sungguh, Islam itu adalah nasihat. Beruntunglah orang yang saling menasihati untuk kebenaran dan kesabaran.

Dari bumi Mesir, kami mengutip jejak-jejak para nabi, 'alim ulama dan mendalami budaya setempat. Pastinya dari bumi kinanah, inshaAllah kejituan hadaf dan kegigihan usaha para anbiya' dan ilmuan akan kami cuba garap dan terapkan. Melangkah ke sebelah timur di bumi kanggaru, biarpun terselit dalam kalangan penduduk non-muslim, itu bukan penghalang. Itulah sebenarnya kekuatan agar kami cuba sedaya upaya membina jati diri muslim, muslim yang mukmin. Berada di bumi asing bukan bermakna terpinggir, tapi, itu isyarat Tuhan agar kami lebih kuat, lebih istiqamah, lebih sabar.

Begitu juga jauh ke barat di United Kingdom. Biarpun tersepit di celah-celah masyarakat Eropah, itu bukan titik noktah. Nabi juga pernah tersepit di celah-celah kejahilan. Tidak mustahil di kala tersepit itu, keimanan mampu bertambah kukuh lalu bangkit menyampaikan kalimah Allah. Juga dalam suasana dan budaya baru, itu peluang untuk kita belajar tentang manusia, manusia yang punya pelbagai ragam. Bukankah mad'u itu punya pelbagai latar belakang? Jadi, berada dalam bi'ah baru dan berjumpa manusia-manusia berbeza sebenarnya menyiapkan kita untuk berhadapan dengan pelbagai manusia.

Kami berempat pernah meneguk ilmu di SMAPL. Mungkin pergaulan kami dengan bangsa-bangsa lain di Malaysia sedikit terbatas. Jadi, dari INTEC kami membawakan secebis ibrah dan perkongsian kami dengan mereka.

Wahai manusia! Sungguh, Kami telah menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku, agar kamu saling mengenali. Sungguh yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa. Sungguh, Allah Maha Mengetahui, Maha Teliti.

al-Hujurat 49:13 

Berbeza bukan bermakna bertelagah, adanya perbezaan agar kita mengenal antara satu sama lain. Taaruf itu sebenarnya yang akan membawa kepada tafahhum, maka, wujudlah kesepakatan. Hanya iman & taqwa yang jadi ukuran dan neraca timbang buat Allah, bukannya asal keturunan. Maka, belajarlah menerima dan memahami perbezaan, agar kita lebih dekat denganNya.

Perkongsian kami mungkin hanya sekelumit. Tak mampu kalau nak dibandingkan dengan beraninya pejuang Islam mengangkat pedang menentang kekafiran. Namun, cubalah masuk ke segenap penjuru untuk menyampaikan risalah kebenaran. Blog, akhbar, televisyen atau apa sahaja. Memandangkan penulisan blog sudah menjadi fenomena, maka, kami ingin mengambil kesempatan menyampaikan secebis tazkirah buat ingatan pembaca dan diri sendiri.  Nabi Ayub juga pernah menyuruh anak-anaknya masuk ke Mesir melalui pelbagai pintu sewaktu dilanda zaman kebuluran. Sudah ada teladan, bukan?

Mahu ikut kami?
Mari!
Hayya bina!
Come and join us!

No comments: